Oct 08, 2022 - FASTuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan situasi perlawanan Liga Super diantara PJ City FC dan Selangor FC di mana Danial Asri muncul wira dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan tiga mata penuh untuk Gergasi Merah, malam tadi.
Beraksi di atas permukaan padang yang basah kerana hujan, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan sedikit perlahan dan lebih berhati-hati. Beberapa percubaan berjaya dihasilkan oleh pemain tengah kelahiran Jordan, Baha’ Abdelrahman menerusi sepakan percuma di mana usaha itu memaksa penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz menerbangkan badan beliau untuk menafikan jaringan.
Selangor yang beraksi selaku pasukan pelawat hampir membuka tirai jaringan apabila serangan balas yang dilancarkan oleh Mukhairi Ajmal namun tekanan dari pertahanan pihak lawan menyukarkan beliau untuk membuat percubaan tepat ke arah gawang PJ City. Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe memilih untuk membuat 3 pertukaran dengan memasukkan Aliff Haiqal bagi menggantikan Norhakim Hassan (minit 57) dan dua pertukaran serentak dengan membawa masuk Alex Agyarkwa serta Danial Asri bagi menggantikan Baha’ Abdelrahman serta Herlison Caion pada minit ke-72.
Sembilan minit berselang dan bagaikan bulan jatuh ke riba, Mukhairi Ajmal berjaya melepaskan satu hantaran lintang yang cukup cantik sekaligus ditanduk masuk oleh Danial Asri yang menjaringkan gol peribadi pertama untuknya musim ini telah memeriahkan suasana di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dan kemenangan ini melonjakkan Selangor di kedudukan ke-7 liga dengan 26 mata, satu mata di belakang Kedah (27 mata) dan satu mata mengatasi Pahang di tangga ke-8 (25 mata).
Berikut adalah beberapa perkara penting yang berjaya dicatatkan dari perlawanan menentang PJ City malam tadi:
- Kemenangan dan ‘clean sheet’ kedua buat Tan Cheng Hoe serta anak buahnya
Sejak dilantik pada 24 September lalu, ini merupakan kemenangan kedua berturut buat Tan Cheng Hoe selepas berjaya menewaskan Melaka United 5-0 minggu lalu. Pujian juga harus diberikan buat para pemain pertahanan dan penjaga gol yang juga berjaya merekodkan ‘clean sheet’ buat dua perlawanan berturut. Sam Somerville tampil cemerlang dengan melakukan beberapa penyelamatan tidak lupa juga Sharul Nazeem dan Yazan Al-Arab yang juga banyak melakukan hadangan serta pintasan.
- Danial Asri ‘Supersub’ dalam pembikinan
Dalam dua perlawanan terakhir, pemain berusia 22 tahun ini dimasukkan pada babak kedua untuk menajamkan lagi jentera serangan Selangor. Bekas penjaring terbanyak tempatan Liga Premier 2020 ini membuktikan impak beliau dengan mencetak gol untuk Brendan Gan Ketika menentang Melaka minggu lalu serta menjaringkan gol tunggal dan kemenangan buat Selangor malam tadi.
Sempat ditemuramah, Danial Asri jelas gembira dengan sumbangannya berkata, “Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana dengan bantuanNya, saya dapat membantu pasukan untuk dua perlawanan terakhir ini. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik jika setiap kali diberi ruang untuk bermain”, ujar beliau.
Selesai sudah 20 perlawanan untuk Liga Super 2022, Gergasi Merah bakal terbang ke Kuching untuk menentang Sarawak United (11 Oktober) dan Penang (15 Oktober) untuk baki dua perlawanan terakhir liga. Dua perlawanan terakhir ini cukup penting buat kesemua pasukan kerana kedudukan liga bakal menentukan nasib masing-masing di Piala Malaysia kelak.
Demi Kebanggaan!